Rabu, 21 Januari 2015

 Bantu aku untuk meneladaninya
Pesanan daripada Rasulullah s.a.w ini sebenarnya telah menjawab persoalan kepada pencarian kita siapakah wanita Islam yang boleh dijadikan contoh di dalam segenap aspek kehidupan terutamanya di waktu akhir zaman ini.
Sedar atau tidak masyarakat kita terutamanya para wanita Islam dan generasi muda wanita Islam masih mencari idola selain daripada mereka dengan alasan idola yang masih hidup dan berada di depan mata lebih senang dicontohi dan diikuti. Kalaupun ada yang cuba mencontohi tokoh-tokoh wanita Islam terbilang ini, keterbatasan untuk menggali seberapa banyak khazanah tauladan kehidupan mereka menjadi asbab mengapa cita-cita untuk meneladani tokoh wanita Islam tersebut tidak tercapai.
Daripada Anas bin Malik r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
“Cukuplah bagimu empat wanita terbaik di dunia iaitu Maryam bt Imran, Siti Khadijah bt Khuwailid, Fatimah bt Muhammad dan Asiah, isteri Fir’aun”
(Hadith Riwayat Ahmad, Abdurrazaq, Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Hakim) 
Barangkali penulisan ini tidak mampu untuk menceritakan secara khusus berkenaan dengan kesemua tokoh wanita Islam terbilang tetapi ianya sebagai satu permulaan untuk mengajak para pembaca terutamanya generasi muda untuk sama-sama menjadikan mereka sebagai panutan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.
Mengenali Wanita Ummul Mukminun
Siapakah di antara kita yang tidak kenal dengan Sayyidah Khadijah Bt Khuwailid, isteri pertama dan isteri yang paling disayangi dan dikasihi oleh insan yang paling mulia di sisi Allah SWT, Rasulullah s.a.w. Wanita yang digelar sebagai Ummul Mukminun yang beerti Ibu kepada seluruh orang mukmin. Penulisan ini tidak bercadang untuk menulis semula sejarah hidupnya tetapi ingin menggali sedalam-dalamnya siapa itu wanita ini yang satu-satunya mendapat ‘salam’ daripada Allah SWT dan Malaikat Jibril a.s.
Penulisan ini menjadi penting kerana Sayyidah Khadijah Al Kubra r.a. telah wafat pada 11 Ramadhan iaitu tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah. Mengingati hari kewafatan Sayyidah Khadijah At Tohirah r.a (Haul) merupakan salah satu cara untuk kita menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada beliau. Sesungguhnya mengingati wanita Ummul Mukminin ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Aku direzekikan oleh Allah SWT untuk mencintai dan menyayangi Khadijah. Sesungguhnya aku sangat kasih dan cinta kepada orang yang mengasihi dan mencintai Khadijah”
Rasulullah s.a.w bersabda;
“Cintailah Allah kerana Dia memberi ni’mat kepadamu, cintailah aku kerana Allah dan cintailah ahli keluargaku kerana cintamu kepadaku”(Riwayat At Tarmizi)
Barangkali timbul persoalan di dalam benak hati kita. Bagaimana mahu mencintai dan mengasihi Ummul Mukminin ini sedangkan darah yang mengalir pada jasad Khadijah r.a. tidak mengalir di jasad kita? Bagaimana mahu mencintai beliau kerana sedari waktu kita tidak pernah untuk mengambil tahu tentang sejarah hidup dan sumbangan beliau di dalam sejarah penting Islam. Tidak melampau jika dikatakan bahawa kita hampir merasa tidak ada kepentingan buat kita untuk mengenali apatah lagi menyintai beliau

Tidak ada komentar:

Posting Komentar